![]() |
||||||||||
![]() |
|
![]() |
||||||||
Sejarah dan Latar Belakang Sekolah![]() Berdiri megah di belakang kawasan Perumahan Taman Tas iaitu sejauh 14 km dari Bandar Kuantan ibu negeri Pahang Darul Makmur. Manakala dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuantan dan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) pula adalah sejauh 17 km dan 15 km. Sekolah Kebangsaan Pandan berada di lokasi Mukim Kuala Kuantan, di dalam daerah Kuantan. Nama Sekolah Kebangsaan Pandan adalah bersempena nama dua buah Kampung yang berdekatan iaitu Kampung Pandan Satu dan Kampung Pandan Dua. Pembinaan sekolah ini bermula pada awal tahun 1997 dan mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan. Pelbagai persediaan dijalankan bagi memulakan sesi
persekolahan yang pertama iaitu sejak Disember 1997 lagi. Pada ketika itu, tiga
orang guru dan seorang kerani telah memikul tanggungjawab dengan cemerlangnya
bagi merealisasikan Sekolah Kebangsaan Pandan. Perintis awal tersebut adalah
En. Suhaimi bin Mansor selaku Guru Penolong Pentadbiran yang sebelum itu
bertugas di Sekolah Kebangsaan Sungai Karang, Kuantan. Beliau dibantu oleh Pn. Rashidah binti Idrus selaku Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang sebelum itu bertugas di Sekolah Kebangsaan Teruntum, Kuantan. Bagi melengkapkan struktur pentadbiran, En. Sreedaran a/l CK Nayar dipertanggungjawabkan sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum. Beliau sebelum ini bertugas di Sekolah Kebangsaan Gambang, Kuantan. Manakala tenaga pembantu tadbir dan perkeranian adalah daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuantan. Pada tanggal 29 Disember 1997 (Isnin), pihak sekolah telah mengadakan majlis sembahyang hajat, bacaan Yassin dan sembahyang berjemaah bagi memohon keberkatan dan mendapat restu Ilahi sebagai tanda kesyukuran. En. Ariffin bin Hussin, yang sebelum ini selaku Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Karang, dengan rasminya dilantik sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pandan pada 2 Januari 1998 (Isnin). Detik bersejarah bermula pada 5 Januari 1998 yang merupakan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Pandan bermula. Pada ketika itu, seramai 761 orang murid telah mendaftar diri sebagai warga Sekolah Kebangsaan Pandan bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 5. Pelajar ini kebanyakannya datang dari kampung dan taman perumahan di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan Pandan, iaitu Kampung Pandan Satu, Kampung Pandan Dua, Kampung Lubuk Puyu, Kampung Chendering, Kampung Batu 8, Taman Tas, dan Taman Tas Ria. Majoriti pelajar ini sebelumnya belajar di Sekolah Kebangsaan Batu Lapan (kini Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad), dan Sekolah Kebangsaan Permatang Badak. Permulaan sesi persekolahan ini hanya menempatkan pelajar Tahun 1 di dalam 6 aliran, Tahun 2 dan 4 di dalam 4 aliran, dan Tahun 5 di dalam 3 aliran sahaja. Pada ketika itu juga, bilangan tenaga guru hanyalah seramai 35 orang. Pentadbiran di bawah kepimpinan En. Ariffin bin Hussin tidak kekal lama. Pada 14 Januari 1998 (Rabu), beliau telah kembali semula ke sekolah asalnya iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Karang. Tempat beliau telah digantikan oleh En. Zulkiflee bin Jusoh dari Sekolah Kebangsaan Balok Baru. Namun demikian, pentadbiran sekolah hanya diuruskan oleh beliau selama 3 tahun 2 bulan dan 2 hari sahaja. Beliau telah ditukarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuantan sebagai Penyelia Sekolah Rendah. Pada 16 Mac 2001, Sekolah Kebangsaan Pandan menerima Guru
Gesar yang ketiga iaitu En. Ahmat bin Haji Bakar. Beliau sebelum ini bertugas
di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Bukit Sagu 2, Kuantan sebagai Guru Penolong Kanan
Hal Ehwal Murid. Kini beliau telah ditempatkan ke Sk Sg. Soi untuk
meneruskan khidmat sebagai Guru Besar. Mulai Disember 2008 SK Pandan
menerima Pn. Maznah bt. Abdullah sebagai peneraju pentadbiran sekolah. Beliau
yang sebelum ini telah menerajui SK Batu 3, adalah seorang Guru
Besar yang berpengalaman luas dan amat mementingkan kebajikan
murid, guru, dan seluruh warga sekolah. Bilangan pelajar Sekolah Kebangsaan Pandan bertambah dari setahun ke setahun. Pada tahun tersebut, bilangan pelajar adalah seramai 1054 orang dan tenaga guru pula bertambah iaitu seramai 45 orang. Selain itu juga, kelancaran struktur perkeranian telah terbukti dengan adanya seorang Pembantu Tadbir, Juru Taip, dan Pekerja Rendah Awam sekolah. Lokasi dan pelan pembinaan Sekolah Kebangsaan Pandan amat teratur dan tersusun rapi serta bersistematik. Tiga blok pembelajaran yang saling berhubung, kantin, dan
padang sekolah serta prasarana lain secara tidak langsung telah membantu kearah
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran para pelajar. Persekitaran yang nyaman
dan bersih serta landskap yang indah telah menyebabkan adanya rasa terpanggil
untuk para ibu bapa memilih sekolah ini, para pelajar juga tidak ketinggalan
untuk bersama-sama menimba ilmu dengan penuh rasa minat, tekun dan harmoni. Ini
terbukti dengan pencapaian anak sulung Sekolah Kebangsaan Pandan yang amat
membanggakan. Pada Tahun 1999 seramai 5 orang pelajar telah berjaya memperoleh
5A di dalam UPSR dan seterusnya meningkat kepada 8 orang pada tahun 2000. Pada
awal pengoperasian Sekolah Kebangsaan Pandan, hanya satu sesi persekolahan
sahaja diadakan. Ini kerana bilangan kelas yang disediakan adalah melebihi
daripada jumlah pelajar. Namun pada tahun 1999 kelimpahan pelajar telah berlaku
dan sesi persekolahan terpaksa dijalankan dalam dua sesi iaitu sidang pagi dan
petang. Kini, Sekolah Kebangsaan Pandan telah berubah wajah. Berlatarbelakangkan Kuaters Institusi Pendidikan Pandan yang siap diduduki sepenuhnya telah menyerlahkan lagi persekitaran Sekolah Kebangsaan Pandan. Sebuah bangunan tiga tingkat juga telah dibina untuk menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat. Ini diikuti pula oleh pembinaan sebuah bangunan makmal komputer yang dapat membantu meningkatkan minat pelajar mempelajari ilmu teknologi maklumat yang amat dituntut oleh senario pendidikan pada masa kini. Pada tahun 2003, dua buah kelas prasekolah telah diwujudkan iaitu Mas Pandan dan Sri Pandan dengan kedua-duanya mempunyai seramai 25 orang anak-anak didik yang berumur 6 tahun. Awal tahun 2007, persekolahan Sekolah Kebangsaan Pandan telah dijalankan dalam satu sesi sahaja berikutan prasarana dan kelengkapan sekolah yang mencukupi untuk merealisasikan maksud tersebut. Di bawah pentadbiran Guru Besar yang berpengalaman, kini banyak perubahan dan anjakan paradigma telah berlaku. Bilik-bilik khas telah diwujudkan dan diberi penambahbaikkan untuk memberikan nafas baru demi keselesaan dan keharmonian kepada semua warga sekolah, antaranya ialah Pusat Sumber Sekolah, Makmal Komputer, Bilik Anak-anak Harapan (Pemulihan), Bilik Media, Surau, Bilik Guru, Bilik Bimbingan dan Kaunseling, Prasekolah, Bilik J-QAF, Bilik Kesihatan, Bilik PPSMI, Bilik SAL (Self Access Learning), Bilik KoKurikulum dan lain-lain. Selain memberi kemudahan dan sokongan kepada para guru demi meningkatkan produktiviti sekolah, beliau juga menitikberatkan kepada keceriaan dan persekitaran yang cantik dan menarik. Setiap tanggungjawab yang diberi oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuantan telah dijalankan dengan penuh komited, ini terbukti apabila Sekolah Kebangsaan Pandan telah dengan jayanya menjadi tuan rumah Pertandingan J-QAF Peringkat Zon Perkasa pada 2007. Kejayaan pelajar di dalam aspek Kurikulum adalah seiring dengan kejayaan di dalam aktiviti KoKurikulum, umpamanya sekolah telah berjaya menempa kejayaan di dalam Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun MSSM Pahang (2002), Kejohanan Bola Baling Mini MSSM Pahang (2005, 2006, 2007), Pertandingan Choral Speaking Daerah Kuantan (2005, 2006), Pertandingan Kalam Jama’i, Pertandingan Dikir Barat (J-QAF), Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris, dan Pertandingan Tarian Rampai Prasekolah yang kesemuanya dirangkul pada tahun 2007. Oleh yang demikian, adalah diharapkan, Sekolah Kebangsaan Pandan akan menjadi sebuah institusi pendidikan yang disegani di arena akademik dan kokurikulum. Insyaallah, dengan berkat dan limpah kurniaNya, Sekolah
Kebangsaan Pandan akan terus cemerlang, gemilang, dan terbilang seiring dengan
motonya iaitu; “TERUS UNGGUL” di persada pendidikan tanah air. "ILMU PENJANA MINDA”
Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia
Pelawat: |